::In The Name Of Allah The Most Gracious And The Most Merciful::Assalammualaikum & Hye! I'm Farahani. Welcome to a place where i put my ideas & my stories. My Goal is just to please Allah. May we inspire each other. InsyaAllah. Pray for me ya.(^_^)Selalu senyum, selalu sangka baik, insyaAllah hati tenang ~::

Followers

Wednesday, March 19, 2014

Sempitnya lorong jalan ini?

Sempitnya lorong ini?

Pernah satu hari, aku duduk termenung di hadapan meja belajar. Kosong. Diam. Sunyi. Sesekali aku menjengah ke luar jendela, melihat langit Allah yang terbentang luas. Ada rasa ketenangan apabila melihatnya. Tunduk. Sayunya rasa hati itu. Terasa seakan sempitnya lorong yang aku lalui saat ini. Aku teringat pesan seorang sahabat, ‘…jalan untuk berubah ke arah kebaikan itu tidak sesekali menjanjikan kesenangan berpanjangan, namun yakinlah bahawa orang yang mengambil langkah berubah ke arah kebaikan, tidak sesekali usahanya itu disia-siakan oleh Allah, bersabarlah & bersolatlah, ingat (Surah Al-baqarah: 45-46)..”

Menggugah jiwa.

Diam. Hanya bunyi kicauan burung menemani sambil angin bertiup lembut. Seakan membelai jiwa ini.

Inilah sunatullah dalam kehidupan. Dalam berubah ke arah kebaikan juga Allah sediakan ujian-ujian yang memukul jiwa dan menyentuh sanubari. Kadang-kala hati kecil ini tertanya-tanya mengapa jalan untuk berbuat baik juga penuh dengan rintangan? Mengapa jalan untuk berubah juga penuh perjuangan? ‘Aku bukan nak buat jahat, bukan nak buat dosa, semua ini aku buat demi mencari redha-Mu ya Allah, semua ni aku buat demi mendapatkan kasih sayang-Mu ya Allah, semua ni aku buat, kerana aku yakin dengan ayat-ayat cinta-Mu  dalam Al-Quran ya Allah’. Itulah mungkin antara monolog hati kita yang kita berharap sungguh Allah mendengarnya, sudi memandang kita, dan memberi pertolongan pada konfliks serta persoalan yang kita hadapi dalam berubah ini.

Sebagai seorang pemandu jalan raya atau pun mungkin penumpang, pasti tidak asing lagi bagi kita dengan jalan raya yang luas lorongnya dan jalan raya yang sempit lorongnya? kan. Ingin saya bertanya/ mengajak anda berimaginasi dengan satu analogi, pernah tak kita melalui satu lorong jalan yang sempit?. Tujuan kita melalui lorong itu tidak dapat tidak  pasti untuk sampai ke suatu destinasi. Mungkin kita hendak bermalam di rumah datuk dan nenek. Biasanya terletak di Kampung. Lantas bagaimana corak pemanduan kita?. Adakah kita berhati-hati?, Memandu dengan laju?. Saya yakin, kita pasti akan memandu kereta dengan teliti dan berwaspada. Kan. 

Disebabkan jalan di Kampung mempunyai lorong yang sempit kita mungkin perlu berundur, menepi, dan sebagainya jika bertembung dengan kereta yang lain, sebab kita risau, akan tergesel dengan kereta itu dan mengakibatkan calar pada kereta masing-masing. Malahan sesekali kita akan terjumpa dengan lembu, kerbau, kambing, kucing, anak-anak ayam serta ibunya, dan ular yang mungkin hendak melintas atau bermain-main di lorong yang kita lalui itu. Lantas kita memberhentikan kereta. Menunggu dengan penuh sabar. Yang tidak sabar dan tidak mahu merendahkan had laju keretanya akan menge’hon’ gerombolan haiwan itu. Kesian. Tidak kurang juga semasa kita melalui jalan yang berlorong sempit ini, ada pula sekumpulan kanak-kanak mengayuh basikal dengan gembiranya. Lantas kita diuji lagi untuk bersabar. Bahkan! Ada sesekali kita akan terserempak dengan lubang-lubang jalan yang tidak kurang hebat dalamnya, tahi-tahi kerbau dan lembu, dahan-dahan kayu yang menghalang jalan, serta lumpur-lumpur. Lantas kesabaran kita juga diuji ketika itu.



Dan lorong itu jika diperhatikan, memang penuh ujian. Seakan semuanya nampak menyedihkan.

Lantas dimana keindahan, ketenangan, dan kebahagiaan dalam melalui lorong itu?

Bukankah destinasi yang kita hendak tuju itu memberi kekuatan untuk kita?

Bukankah destinasi yang kita hendak tuju itu memberi kebahagiaan yang tidak tergambar indahnya?

Bukankah semua yang kita lalui tadi banyak mendidik kita dengan erti sabar dan erti bertolak ansur?

Bukankah semua yang kita lalui untuk sampai ke destinasi banyak mengajar kita untuk berhati-hati?

Jawapannya semestinya ‘ya’. Pujuklah hatimu wahai insan yang mengambil jalan berubah ke arah kebaikan.

Beginilah juga sifirnya dalam usaha memperbaiki diri. Jalan ini mungkin karpetnya penuh dengan kesedihan dimata kita, Ada saat kita akan merasa tergugat ketabahan dan kemampuan kita untuk meneruskan perjuangan dalam perubahan ini. Kadang-kala terasa ingin putus asa.

Masakan tidak, sebagai contoh. Di saat kita baru berjinak-jinak hendak menutup aurat dengan sempurna, pakai stokin, pakai tudung yang lebih labuh, ada suara-suara yang menegur, menyindir, dan mencemuh kita, Seakan perubahan kita tidak mendapat sokongan. Walhal kita buat sebab kita tersedar dari lena, dan malu pada illahi, ingin mengikut perintahNya, kembali kepada fitrah. Disaat kita berubah, kawan-kawan tidak menyenangi perubahan kita, mereka menjauh, kita sendiri. Disaat kita berubah, seakan banyak timbulnya dugaan-dugaan dalam pelajaran, dengan keluarga, dan masalah kewangan.

Sempitnya lorong ini?
Sabar lah sayang. Allah itu sesekali tidak pernah menjauh dari kita. Dia telah merancang semuanya dengan baik dan pastinya sebatas kemampuan kita. Destinasi kita adalah Allah. Syurga-Nya. Masakan untuk dapatkannya, hanya jalan-jalan yang manis yang kita hendak lalui. Masakan untuk dapatkannya perlu berlenggang kangkung, ikut rasa dan mahu kita sahaja?. Rasulullah dan para sahabat juga melalui ujian yang hebat dari Allah. Hayatilah dan bacalah sirah. Tidakkah kita mahu mengambil pelajaran?. Bersyukurlah. Yakinlah, janji Allah itu benar. Andai kau rasa dirimu susah, sempit, dan 1001 rasa lagi. Lihatlah pada orang yang jauh lebih susah dari kita. Ada manusia yang istimewa, diuji dengan buta, bisu, pekak, tiada kaki, dan tiada tangan. Lihatlah dirimu, kau masih ada semua itu, masih dipinjamkan oleh-Nya. Lihatlah juga pada pesakit-pesakit yang terlantar dihospital, pelbagai peringkat umur, dari baby hinggalah yang lanjut usia. Ada yang demam, ada yang koma bertahun-tahun, ada yang menghidap kanser, ada yang menanti penderma organ untuk tubuh badannya, ada yang masuk keluar hospital kerap, dan bermacam-macam lagi penyakit yang Allah uji mereka. They are choosen. You’re choosen too. Bersyukurlah kerana-Nya. Sesekali ziarahlah kubur, dan beringatlah, suatu hari kita juga akan masuk ke dalam kubur. Kita akan Mati. Semua orang akan mati. Dan Mati itu pasti.

Rasulullah s.a.w bersabda:
"Orang pintar itu ialah yang selalu menjaga dirinya (dari hal buruk) dan banyak beramal untuk bekalnya di Akhirat kelak"-(HR.Tirmidzi)

Allah s.w.t juga ada berfirman dalam Al-Quran:
“Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Kemudian hanya kepada Kami kamu dikembalikan”- ( Surah Al-Ankabut: 57)

Lantas, apakah persiapan kita? Bekalan kita?

Ketahuilah, aku sedang berjuang dengan dugaan yang Allah beri kepadaku, kau sedang berjuang dengan dugaan yang Allah beri kepadamu, dan semua orang sedang berjuang. Motivasi utama kita adalah Allah. Untunglah orang yang diuji itu, andai ujian itu membuatkan dia dekat pada Allah. Rugilah orang yang diuji itu, andai ujian itu membuatkan dia semakin jauh pada Allah.

Buat apa yang Allah suka, insyaAllah bahagia akan menjadi milik kita!. Percayalah. 
Tebalkan cinta itu...
Cinta pada Allah & Rasulullah,
Berdoalah pada Allah,
Dia sesekali tidak akan menghampakanmu.
Minta padaNya sungguh-sungguh.
Dah. Senyum. Jangan nangis lagi. Allah bersamamu. May Allah ease everything.

May Allah bless us.
#Artikel ini juga dipublishkan di laman AkuIslam.com

entry TAMMAT...suka? like jer..

No comments: