Bismillahirrahmanirrahim,
“…Dan sesungguhnya kepada Tuhanmulah
kesudahannya segala sesuatu, Dan sesungguhnya Dialah yang menjadikan orang
tertawa dan menangis. Dan sesungguhnya Dialah yang mematikan dan
menghidupkan…”- (An-Najm: 42-44)
Wahai insan istimewa pilihan Allah
yakni insan yang sedang diuji,
Pujuklah hatimu andai dugaan yang
mendatang itu seakan menghimpitmu. Bukan Allah tidak peduli. Bukan Allah hendak
menyeksamu. Bukan Allah sudah tidak melihat usaha dan doa-doamu, bukan Dia
tidak kisah air matamu. Dia cuma hendak kamu tahu bahawa Dia menyayangimu.
Sangat menyayangimu. Masakan tidak, dari berbillion manusia di muka bumi ini,
engkau pilihannya. Dia memilihmu kerana Dia ingin kau kembali padaNya. Mungkin
selama ini, kau lalai dari mengingatiNya dengan sebenar-benarnya, mungkin
selama ini kau kurang bersyukur dengan apa yang telah Dia berikan padamu.
Limpahan nikmat yang kau perolehi jarang sekali kau syukuri. Bahkan kau tambahi
dengan keluhan. Maka, muhasabahlah.
Wahai calon penghuni syurga,
“ Mahasuci Allah yang menguasai
segala kerajaan, Dan Dia Mahakuasa atas segala sesuatu. Yang menciptakan mati
dan hidup, untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya.
Dan Dia Mahaperkasa, Maha Pengampun.”- (Al-Mulk: 1-2)
Pujuklah hatimu andai dugaan yang
datang itu seakan bertubi-tubi bagimu. Bukan Allah tidak tahu, betapa dengan
ujian dariNya ini, membuat kau terduduk, membuat kau menangis dan membuat kau
lebih banyak ingat Dia. Allah tahu itu dan ketahuilah Allah sentiasa
memerhatimu dengan pandangan kasih sayang. Dia sentiasa ingin yang terbaik
untuk kehidupanmu. Dan perancanganNya sungguh berseni dan sungguh sempurna. Dia
tahu kau merancang itu dan ini, Dia tahu kau mahu itu dan ini, namun yang
terjadi adalah sebaliknya. Kau perlu ingat dan pasakkan dalam jiwa, Dialah
sebaik-baik perancang.
Wahai sekalian sahabatku yang sedang
memperbaiki diri dan memperbaiki iman,
Hidup ini dilingkari seluruhnya
dengan limpahan kasih sayang Allah.
Dia beri kau nikmat sepasang mata,
kerana kau pilihanNya untuk ada nikmat itu. Pernahkah kau terfikir andai
selepas ini Dia mengambil nikmat itu?
Dia beri kau nikmat sepasang kaki,
kerana kau pilihanNya untuk merasa nikmat itu. Pernahkah kau terfikir andai
kakimu patah dan kau disahkan tidak boleh berjalan lagi?
Dia beri kau nikmat sihat, kerana kau
pilihanNya untuk merasa nikmat itu. Pernahkah kau terfikir betapa banyak
manusia yang sakit dihospital amat menginginkan untuk kembali sihat?
Bahkan, Dia juga beri kau nikmat ada
duit, kerja, makanan, rumah, pakaian, nikmat belajar dan bermacam-macam lagi. Tapi
sayangnya, kau selalu lupa untuk mengamalkan sifat Qanaah yakni merasa cukup
dengan pemberianNya. Maka, refleksilah diri kita selalu andai kita tidak
termasuk dalam golongan yang rugi dikemudian hari iaitu diakhirat sana.
Yakinlah orang yang percaya akan janji-janji
Allah, Dia akan kirimkan khabar gembira tidak lama lagi kepadamu dari jalan
yang kau tidak sangka-sangka, cepat atau lambat bukan soalnya, yang pasti Allah
tidak akan memungkiri janji. Allah tidak akan mensia-siakan orang yang
melakukan kebaikan termasuk usahamu untuk bersabar dan redha dengan setiap
dugaan dariNya. Jika bukan didunia, mungkin ganjaranmu disyurga sana.
Percayalah dengan hebat bahawa Allah sesekali tidak akan mengecewakanmu kerana
Dia Maha Adil dan Dia Maha Memberi. Tidak dapat dinafikan ada ketika kau
bertarung dengan perasaan sendiri, rasanya sakit sangat. Apatah lagi pada masa
itu orang sekelilingmu seakan tidak memahamimu. Tidak mengapa duhai hati,
sabarlah dan solatlah. Allah sendiri berpesan dalam Al-Quran:
“Wahai orang-orang yang beriman!
Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah
beserta orang-orang yang sabar.”- (Al-Baqarah: 153)
Tidakkah ayat dariNya itu menggugah
jiwamu? Belum cukup tergerakkah dirimu untuk mencuba tips yang Allah ajari?
Lihatlah kehidupan ini dengan teliti,
pandanglah sesuatu yang terjadi itu dengan positif dan professional serta cubalah
belajar dari setiap yang kau perhati. Mungkin dari situ kau dapat ingat Dia.
Ingin saya membawa diri saya dan
pembaca semua satu analogi. Mudah-mudahan dengan izinNya ada sedikit kefahaman
kita mengenai ujian dalam kehidupan ini.
Kita bayangkan sebuah rumah. Dalam
pembuatan rumah sahaja mengambil masa untuk siap. Perlu ada duit (peruntukan
kewangan) untuk membeli bahan-bahan seperti simen, paku, pasir, dan sebagainya.
Prosesnya juga banyak dan pelbagai, susun batu bata, mengecat, pasang mozek,
dan sebagainya. Kadangkala tukang buat rumah itu berhenti seketika, mungkin
sebab panas, penat dan ingin berehat sebentar. Dan mungkin ada ketika tukang
itu tidak dapat bekerja kerana hari itu hujan lebat, dia minta cuti, dia sakit
dan bermacam-macam lagi. Lihat. Untuk membuat rumah saja, mengambil masa dan
ada proses-prosesnya yang harus dilalui.
Tersalah sedikit, akan memberi kesanlah kepada rumah kita, kan.
Begitu juga kita dalam kehidupan ini.
Mungkin ujian yang hadir ini ialah sebagai turning
point kita agar kembali kepadaNya. Allah beri tempoh yang tertentu untuk
kita lalui ujian ini. Pelbagai cara yang kita usahakan dalam melalui ujian itu
dan bermacam-macam jenis orang yang kita jumpa. Mungkin ada masa kau terduduk seketika,
mencari ketenangan dariNya, mungkin ada masa kau mengumpul segala kekuatan untuk
kembali bangkit dari rasa keputus asaanmu. Ada masa kau mampu bertahan, namun
ada masa kau rebah, tidak tertahan dan airmatamu pun tumpah membasahi pipi. Kau
menangis semahumu, kau berdialog semahumu. Dan Dia adalah saksi segala saksi
atas segala yang kau lakukan termasuk yang terlintas dihatimu semasa mendepani
ujiannya ini. Dan sampai satu saat, semuanya berakhir, ujian ini Allah izinkan
berlalu pergi. Dan ada ujian yang lain menanti pula. Amat beruntunglah
seseorang itu yang bilamana Allah hadirkan dugaan dalam hidupnya samaada dalam
bentuk kesenangan mahupun kesusuhan, dia semakin dekat dengan pencipta, dia
semakin ingat Dia dan sekaligus berazam untuk kembali kepadaNya.
Amat rugilah seseorang itu yang
bilamana Allah hadirkan ujian kepadanya, dia masih ditakuk yang sama. Mengeluh
tak berkesudahan. Menyalahkan itu dan ini.
Wahai yang hidup dan akhirnya akan
mati,
Ujian berbentuk kesenangan atau
kesusahan itu adalah sunatullah dalam kehidupan. Allah menguji setiap hambanya
dengan cara yang berbeza, mengikut kadar kemampuan seseorang itu, dan pada masa
yang tepat. Mahu ataupun tidak mahu, kita kena menerima dan menghadapi dugaan
yang medatang. Siapa kita untuk mempersoalkan kenapa kita diuji andai selama
ini kita selalu memungkiri perintahNya yang diperintahkan kepada kita?. Amat
baiknya Allah, dengan ujian yang hadir itu membuat kita lebih matang dan kuat
untuk mendepani hari-hari yang mendatang. Maha Pengasih dan Maha Penyayang
Allah, Dia uji kita bersebab. Mungkin dengan ujian yang hadir itu, Allah nak
angkat darjat kita, Allah nak hapus dosa-dosa kita, dan Allah nak beri pahala
pada kita. Maka, senyum dan berbahagialah menjadi insan pilihan yang diujiNya.
Wahai manusia yang mendambakan
kebahagiaan didunia dan di akhirat,
Andai dugaan itu menjengukmu, tidak
dapat tidak, kita kena rapat dengan Allah. Kekuatan itu milikNya, maka mohon
kekuatan dariNya, mengadu segalanya dengan Dia. Usahakan untuk perbaiki iman.
Solat jangan tinggal dan usahakan solat diawal waktu, lazimi juga diri dengan
istighfar dan selawat, dan cuba buat ibadah yang kau tak pernah buat/ tak biasa
buat seperti solat tahajud, qiamulail, solat dhuha, dan sebagainya. Dari situ,
insya-Allah kau akan terdidik sedikit demi sedikit untuk kuat, sabar dan redha
dengan apapun yang terjadi dalam kehidupanmu. Dari situ kau akan rasa, betapa
nikmatnya bergantung harap sepenuhnya pada Allah. Bersabarlah dalam ketaatan
untuk beribadah kepadaNya. Moga kesudahan kita semua adalah kesudahan yang
baik.
Saya rasa ada benarnya ayat ini:
“Bukan beratnya ujian yang membuat
kita lemah, tapi ringannya hubungan kita dengan Allah yang menyebabkan kita
seakan tidak dapat menanggungnya.”- (Afdholul Rahman, LangitIllahi.com)